Mengharap Kasih Seluas Lautan
Salaam...
Lama aku tak menulis dalam bahasa Melayu... Entri kali ni istimewa sikit sebab kali ni aku ingin meluahkan perasaan aku... Luahan ini aku tujukan buat seseorang yang aku amat sayangi dan suatu ketika dahulu dia adalah seseorang yang sentiasa ada di sisi aku. Setelah bertahun berlalu, kami sudah tidak serasi lagi. Pendapat dan mentaliti sering berbeza, namun perasaan sayang pastinya tidak pernah luntur dari hati ku. Namun hanya Allah saja yang tahu perasaan hatinya kepada aku.
Sejak aku mula mengenali dan tahu akan kewujudannya, dialah peneman hidupku. Sering membuatku ketawa dan sering memujukku dikala aku memuncungkan bibir - merajuk. Acapkali usapan tapak tangannya mengusir airmata yang gugur dari kelopak mataku. Suara nyanyiannya untuk menidurkanku.... masih merdu di dalam memori ku. Mungkin kerana dia aku juga suka menyanyi!! ...walaupun sumbang! Tak percaya? Nanti aku buktikan..
Aku juga selalu teringat apabila jemarinya mengenggam erat jemariku sewaktu kami bersama menyusuri sekitar bandaraya Kuching. Masih ada sisa ketawa ku bila terkenang kami hampir tertinggal bas dek kerana terleka. Dia juga orang pertama yang menyelamatku ketika aku terjatuh di dalam parit, kemalangan kecil sewaktu berbasikal.
Dahiku... pipiku seperti masih berbekas dengan kucupannya yang jarang sekali aku rasai - namun aku tahu acapkali dia mengucupku di kala lenaku. Umpama mimpi manis....
Apabila tiba suatu ketika, kami mulai bercanggah prinsip hidup. Pilihan mulai berbeza. Citarasa sudah tak sama. Aku mulai memilih lorong hidup sendiri dan aku mulai leka dengan pilihan lorong ku yang banyak simpang dunia. Di kala itu aku sering lupakannya. Aku sering abaikannya.
Persis air yang mengalir walau dari mana pun pasti akan kembali ke lautan... begitulah aku yang pasti akan kembali mencarinya dalam hidup aku.
Aku akui sekali sekala akan terbit rasa cemburu melihat dia memberikan kasihnya kepada hak miliknya yang lain. Aku juga mahukan perhatiannya itu! Aku juga mahukan kasih itu!
Walaupun terkadang terasa terpinggir dari sentuhan kasihnya itu, mungkin itu bayaran dari masa silam kami.
Aku tahu aku bukan yang terbaik... Aku sering hampakannya... Aku sering mengecewakannya.
Aku hanya insan biasa... Kadang kala aku cuba untuk menjadi yang terbaik namun hakikatnya aku sering gagal lagi,
Kini apa yang aku rindukan hanyalah dia dan kasih sayang nya yang seluas lautan itu.... Aku harap dia sentiasa bangga dengan kewujudanku. Walau dengan apapun kekurangan dalam hidupku ini, aku harap dia boleh sentiasa tersenyum melihat apa adanya aku seperti dia melihat hak miliknya yang lain.
Dan aku harap kasih yang seluas lautan itu takkan kering buatku selamanya....
..... walau hanya merasai hujung ombak dipesisiran, aku tetap bersyukur.
Khas untuk mama ku... Nyanyianku tuju khas untuk dirimu yang sentiasa dalam ingatanku... (walaupun aku tahu dia takkan tahu....) Selamat Hari Ibu, Mak....
Mawar Putih Untuk Mama - Datuk Sharifah Aini
Kau sinaran bulan
Menyerikan bitang-bintang
Kaulah fajar yang menerbitkan pagi
Kau sirami embun
Menyegarkan pepohonan
Kau bukakan tabir siang untukku
Kau berikan mama
Kasih sayang maha suci
Betapa agungnya
Tiada ternilaikan
Oh mama, oh mamaku
Tiada cinta yang suci
Setulus cintamu
Ku suntingkan mama
Sekuntum mawar putih
Sebagai lambang kesucian cintaku
Kau berikan mama
Kasih sayang maha suci
Betapa agungnya
Tiada ternilaikan
Oh mama, oh mamaku
Tiada cinta yang suci
Setulus cintamu
Ku suntingkan mama
Sekuntum mawar putih
Sebagai lambang kesucian cintaku
0 Rants Found
NTGravitians.. you have something to say?
Please do... Thanks~♥!